PKPD: “Kalau Rindu Nak Makan Daging, Boleh Suarakan” Penduduk Boleh Minta Bantuan Pusat Di Kawasan Masing-masing

PENDUDUK di kawasan yang diisytiharkan berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) boleh membuat permintaan atau aduan kepada pusat yang diwujudkan di kawasan masing-masing.

Menteri Kanan yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pusat berkenaan akan menyelaras agihan barangan keperluan termasuk barang basah kepada penduduk di kawasan yang berkenaan.

Bagaimanapun ujar Ismail, memahami keadaan penduduk yang tidak boleh keluar masuk kerana pergerakan mereka dihadkan sepenuhnya, namun mereka boleh menyuarakan kepada pusat tersebut sekiranya mempunyai permintaan tertentu.

“Di setiap PKPD seperti di Hulu Langat, Simpang Renggam, Menara City One… memang selama ini kita hantar produk basah tetapi setiap kawasan tersebut kita wujudkan satu ‘center’ untuk bukan saja pantau pergerakan mereka tetapi menghantar barangan sebab mereka total lock down.

“Jadi apa saja keperluan yang diperlukan, mereka boleh mengadu di pusat disediakan. Untuk minta lampin pakai buang misalnya. Kita tak hantar setiap ruman sebab kita tak tahu siapa yang memerlukannya.

“Misalnya juga kalau rindu nak makan daging, boleh suarakan kepada pusat. Kita tak hantar semua kepada mereka kerana keperluan setiap keluarga berbeza-beza. Kalau uubat gigi habis misalnya, pun boleh minta bantuan petugas di pusat untuk bantu mereka,” ujarnya dalam sidang media harian Covid-19 pada Ahad.

Ismail berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita yang bertanyakan mengenai keresahan penduduk di kawasan PKPD untuk mendapatkan barangan basah selama tempoh tersebut.

Menara City One di Jalan Munshi Abdullah merupakan kawasan ketiga diisytiharkan sebagai kawasan di bawah PKPD. Foto iproperty.com

Sementara itu dalam sidang media yang sama, Ismail turut menjelaskan kekeliruan mengenai operasi dan aktiviti membabitkan sektor pertanian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Setiap aktiviti dan operasi yang berkaitan sektor pertanian adalah dibenarkan. Ada yang tanya boleh ke tabur benih padi, boleh ke turun ke laut… semuanya dibolehkan seperti biasa.

“Keseluruhan rantaian berkaitan pertanian dibenarkan… tak ada sekatan dan sebagainya.

“Penjualan produk pertanian dibuka seperti pasar (pusat jualan barangan segar terkawal) di bawah FAMA supaya peluang dan ruang rakyat untuk mendapatkan produk diperluaskan.

“Kedai baja pun boleh dibuka. Perkilangan yang berkaitan produk pertanian juga dibenarkan. Ini kerana kita tahu rakyat kita bergantung kepada produk pertanian dan perikanan… jadi tak ada isu yang mengatakan ada yang ditahan kerana bawa produk dan sebagainya,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, sehingga kini kerajaan telah mengisytiharkan tiga kawasan diletakkan di bawah PKPD iaitu Simpang Renggam (Johor), Sungai Lui (Hulu Langat, Selangor) dan Menara City One di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur.

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jangan Lupa Juga Untuk Follow Kami di Page @RoseMerah

Sumber : mStar

PERHATIAN: Pihak Rose Merah tidak akan bertanggungjawap langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak Rose Merah juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawap anda sendiri.