Porsche lahirkan keluarga baharu 911 dengan pengenalan model Coupe dan Cabriolet

Barisan Porsche 911 generasi kelapan (992) kini semakin berkembang dengan kehadiran dua model baharu iaitu 911 Carrera Coupe dan Cabriolet.

Kedua-dua model ‘entry level’ itu hadir kira-kira sembilan bulan selepas 911 Carrera S diperkenalkan.

Seperti Carrera S, Carrera turut menampilkan enjin boxer turbo 3.0 liter enam silinder. Namun kuasa pada versi itu adalah 65PS dan 80Nm lebih rendah iaitu 385PS pada 6,500rpm dan 450Nm dari 1,950 hingga 5,000rpm.

Dengan transmisi automatik PDK lapan kelajuan yang ditugaskan untuk menyalurkan kuasa ke roda belakang, Carrera Coupe memerlukan 4.2 saat untuk memecut dari 0 hingga 100km/j dan boleh memecut sehingga 293km/j.

Bagaimanapun, masa pecutan terbabit boleh dikurangkan sebanyak 0.2 saat menerusi penambahan pakej Sport Chrono yang ditawarkan secara pilihan.

Sementara itu, Carrera Cabriolet pula boleh mencapai kelajuan 100km/j dalam 4.4 saat atau 4.2 saat dengan pakej Sport Chrono.

Penggunaan bumbung jenis convertible memberikan model ini berat tambahan sebanyak 70kg dan oleh sebab itu, kelajuan maksimumnya juga lebih rendah iaitu 291km/j.

Kedua-dua model mendapat rim 19 inci di hadapan dan 20 inci di belakang, dengan padanan tayar 235/40 dan 295/35. Sistem brek pula merangkumi cakera berukuran 330mm dengan angkup monoblok empat omboh pada bahagian hadapan dan belakang.

Dari segi kelengkapan, kedua-dua model hadir Porsche Advanced Cockpit yang mengetengahkan skrin sentuh berukuran 10.9 inci sebagai ciri utama. Turut disertakan adalah ciri Wet Mode seperti yang terdapat pada Carrera S.

Sumber:Gempak